Masih belum terlambat untuk dia kembali ke pangkal jalan dan berubah.
Sebagai seorang ibu, saya nasihatkan supaya Natasya Farisya berubah.
Tidak ada untung apa pun mereka yang menjadi pondan, kata Yah, 50,
ibu kepada Allahyarham Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz, pemuda yang gagal
dalam permohonan menukar nama dan status jantina dalam MyKad kepada Aleesha Farhana.
Yah yang mengulas mengenai Natasya Farisya, 28, pondan yang dikaitkan
dengan kes pemuda parah disimbah asid, di Kangar, Perlis baru-baru ini,
berkata peluang untuk pemuda itu berubah masih terbuka luas kerana dia
tidak melakukan pembedahan membuang kemaluan untuk menjadi wanita.
Sambil memohon mereka yang mengalami kekeliruan jantina supaya mengambi
l iktibar kes arwah anaknya yang genap 44 hari meninggal dunia hari ini,
beliau berkata, tiada ibu bapa gembira melihat anak dilahirkan sebagai lelaki,
mengubah penampilan dan perwatakan menjadi wanita.
"Bagi saya, Natasya Farisya dan mereka yang sepertinya patut kembali
ke pangkal jalan kerana peluang berubah masih ada.
"Mereka yang tak boleh kembali seperti kes arwah anak saya kerana
sudah melakukan pembedahan. Kesal dan marah macam mana pun, jika
dibunuh sekali pun, tidak boleh diubah kerana sudah terlambat, tetapi
Natasya Farisya dan yang senasib dengannya masih boleh diselamatkan lagi.
"Seperti kes arwah Mohd Ashraf, kami sekeluarga tidak tahu dia menukar
jantina. Walaupun kami pernah membuangnya kerana marah dengan
perbuatannya, akhirnya kami terpaksa reda dan berserah kepada Allah kerana
tiada apa boleh dilakukan lagi. Jika kami tahu, perkara itu tidak mungkin
berlaku kerana tiada ibu bapa yang gembira melihat anaknya sebegitu,"
katanya kepada Berita Harian.
Berita Harian sebelum ini melaporkan, Natasya Farisya, yang juga bekas
model sambilan dari Taman Sri Bakau, Kangar, Perlis, ditahan Jabatan
Agama Islam Perlis (JAIPs) JAIPs pada 2007 dan 2010, selepas dikesan
menyalahi Seksyen 7 Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis
1991 kerana berpakaian seperti wanita.
Natasya Farisya atau nama sebenarnya Tabri Rashid Abu Hassan
menarik perhatian awam kerana pengakuan terbuka 'teman istimewanya',
Mohd Hafizuddin Johari, 20, yang juga mangsa simbahan asid kerana
mahu hidup bersama.
Yah berkata, walaupun Natasya Farisya dikatakan mempunyai teman lelaki
yang setia ingin bersamanya, tetapi ia hanya bersifat sementara.
Selepas kes arwah Mohd Ashraf dipaparkan media, banyak pihak
terutama jabatan kerajaan berkaitan membuka saluran untuk golongan
seperti ini kembali ke pangkal jalan.
Namun, saya agak terkilan kerana hasrat pihak terbabit mahu menangani
kes seperti dialami arwah Mohd Ashraf kini bagaikan sepi, sedangkan
masih ramai yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk berubah, katanya.
Sementara itu, Yah berkata, keluarganya tidak menghalang jika ada pihak
mahu menerbitkan buku, filem, drama atau dokumentari berkaitan arwah anaknya
untuk dijadikan iktibar, tetapi berharap pihak berkenaan memberi sedikit
bayaran, supaya dapat dimanfaatkan ke jalan kebaikan.