Thanks For Viewing My Blog^^

Tuesday, June 6, 2017

Masalah Tikus Hasil Perbuatan kita

Jangan salahkan tikus kalau tikus serang dan takluki hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian, Kelantan atau di mana-mana juga berlaku masalah tikus.



Kalau kita orang yang ada otak, kita akan salahkan diri kita sendiri. Kitalah yang buat alam sekitar kotor. Kitalah yang jahil berkenaan hukum alam. Dan kitalah yang langgar hukum alam.

Bila kita langgar hukum alam semula jadi, hukum ciptaan Tuhan, alam semula jadi akan lawan balik. Cerita tikus yang disiarkan oleh media massa sekarang adalah cerita manusia langgar hukum dan peraturan alam semula jadi.

Dari turun-temurun pun kita hidup dengan tikus dan dengan bermacam-macam makhluk Allah. Kunta Kinte lahir, membesar dan tua dengan tikus. Tapi Kunta Kinte tidaklah pula berasa masalah tikus ini masalah luar biasa yang tak boleh diatasi.

Yang buat tikus bermaharajalela adalah disebabkan perbuatan kita juga. Dulu kita bela kucing. Kita bagi makan ala kadar. Kita tak manjakan sangat kucing kita. Waktu malam bila kita tidur, kucing kita keluar tangkap tikus. Tikus pun bukan bodoh. Bila tikus tahu kucing ada ia elak.

Hikmah Allah cipta tikus dan kucing

Tentulah ada hikmah, ada kebijaksanaan Allah Taala cipta tikus dan pada masa yang sama cipta juga kucing. Hari ini ramai orang pelihara kucing, tapi terbalik kong. Tuan kucing makan makanan tempatan, kucing makan makanan import. Bila kucing bertembung tikus, bukan tikus yang lari tapi kucing. Itu satu hal.

Kemudian ular. Allah Taala cipta ular dan bagi selera makan tikus kepada ular. Masa Kunta Kinte membesar di kampung, boleh kata setiap masa ada ular tikus atas bumbung dan sekeliling rumah.
Ular tikus tak bisa, tapi sangat berkesan kawal tikus. Sekarang banyak ladang biakkan ular tikus untuk kawal tikus yang makan buah kelapa sawit. Tapi ramai orang kita jahil dan baghal. Semua ular, tak kira bisa atau tidak, dibunuh.

Lepas itu burung hantu dan burung helang. Ia pun makan tikus juga. Masa Kunta Kinte kanak-kanak, dalam reban ayam nenek Kunta Kinte ada burung hantu tumpang tidur waktu siang. Waktu malam, burung hantu keluar memburu tikus.

Tapi bila orang kampung diberi senapang patah pada zaman darurat, habis burung hantu dan helang mereka tembak. Ada yang percaya bunyi burung hantu tanda ada orang akan mati.

Tak cukup dengan itu, racun serangga, racun rumpai dan baja kimia meracuni alam sekitar dan bunuh segala haiwan yang jadi musuh tikus. Tikus mati juga, tapi biak balik dengan cepat.

Sekarang di kawasan tanaman padi di Kedah, tikus bermaharajalela. Penanam padi sangat takut kepada tikus sehingga mereka tak berani lagi sebut ‘tikus’. Mereka bagi gelaran ‘orang malam’ kepada tikus.

Kalau dulu tikus jadi musuh tanaman, hari ini tikus juga bawa bermacam-macam kuman yang kalau jangkit manusia tak ada ubat dan sebabkan maut. Pusat Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) senaraikan tak kurang daripada 10 jenis penyakit yang dibawa oleh tikus.

Penyakit kencing tikus

Julai lalu, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, bagi tahu Dewan Negara, sebanyak 2,262 kes penyakit kencing tikus dengan 22 kematian dilaporkan dari Januari sampai 6 Julai. Kes penyakit itu makin meningkat daripada 1,976 pada tahun 2010 kepada 2,268 pada 2011 dan 3,665 tahun lalu.

Sebenarnya ada banyak cara kita boleh atasi masalah tikus. Mula-mula sekali kita kena kenal tikus, jaga persekitaran dan tahu sedikit sebanyak cara kawal tikus. Apa salahnya kita pasang satu dua perangkap tikus di rumah kita. Bukan mahal dan tak susah sangat nak pasang.

Tapi untuk jangka panjang, kita kenalah faham, hormati dan hidup dengan cara yang lebih serasi dengan alam semula jadi ciptaan Tuhan.

Allah Taala dah buat segala-galanya dengan betul dan elok. Cuma kita yang tak peduli nak belajar atau kita memang pemalas, pengotor dan tak bertanggungjawab. Kalau macam itu, elok sangatlah kita kalah kepada tikus.

Wallahualam.

kredit: http://www.bharian.com.my



"Adakah anda memerlukan Perkhidmatan Pest Control? Hubungi kami untuk khidmat dan nasihat di talian 010-900 2231 / 03-7859 7522 atau layari website kami di www.pestshoppe.com"




No comments: